PADAH: Joan Lee (kanan) mengiringi tertuduh keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.
TAWAU: Seorang lelaki dihukum penjara dua hari dan denda RM11,000 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga berlakunya kemalangan, pada 7 Oktober lepas.
Tertuduh, Chuk Sin On, 62, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira jam 6.15 petang di Jalan Kuhara dalam daerah Tawau, sebagai pemandu kenderaan.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi sebagai pengajaran dan keinsafan kepada diri tertuduh.
“Kandungan alkohol di dalam badan tertuduh juga melebihi tiga kali ganda daripada had yang dibenarkan selain terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM11,000 dan empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu tertuduh digantung dua tahun.
|