Tempat kediaman kanak-kanak terbabit.
BINTULU: Seorang lelaki dan wanita ditahan polis untuk membantu siasatan susulan kes kematian seorang kanak-kanak berumur empat tahun tujuh bulan pada malam 15 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali berkata, mangsa yang meninggal dunia pada jam 7.50 malam di Hospital Bintulu terdahulu dilaporkan cedera di sebuah rumah di kawasan Sungai Setiam, Bintulu.
Nixon berkata, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 34 dan 28 tahun kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut.
"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan pinggang kanak-kanak terbabit dan mangsa seterusnya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kes itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
"Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Mohamad Hashim Kasman di talian 011-15377837 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Dearah (IPD) Bintulu (086-318304)," katanya.
|