CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 29537|Reply: 0

[Sabah] Sabah terus mengutamakan agroperhutanan

[Copy link]
Post time 18-10-2024 03:53 PM | Show all posts |Read mode


MESRA: Abidin (dua kiri) ketika bersama beberapa delegasi dalam ICBANS 2024.

KOTA KINABALU: Sabah bertekad untuk mengguna pakai pendekatan agroperhutanan bagi meningkatkan perkhidmatan ekosistem, memperkukuhkan daya tahan terhadap perubahan iklim, menyokong kehidupan di luar bandar dan memastikan keselamatan makanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, agroperhutanan telah menampakkan kejayaan luar biasa di Sabah.

"Model itu telah memperbaiki tahap kesuburan tanah, meningkatkan hasil tanaman dan memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan.

"Jabatan Perhutanan Sabah telah melakukan banyak usaha dalam hal ini," katanya pada Persidangan Antarabangsa mengenai Biodiversiti, Agroperhutanan, Produk Hutan Bukan Kayu dan Kehidupan Lestari (ICBANS) 2024 di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Beliau berkata, dalam menunjukkan komitmen terhadap biodiversiti dan kelestarian, kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), yang kemudiannya diperkasa sebagai entiti tersendiri dibawah Jabatan Ketua Menteri melalui pindaan Enakmen Biodiversiti Sabah.

"Pengukuhan struktur ini menekankan komitmen negeri terhadap biodiversiti dan kelestarian. Kami berbangga mempunyai pusat ini sebagai salah satu rakan utama kami dalam persidangan ini," katanya.

Hajiji berkata, sejak penubuhannya 16 tahun yang lalu, SaBC telah berjaya dalam menguruskan sumber biologi Sabah.

Menurutnya, pusat ini telah mencipta peranan strategik untuk meningkatkan usaha pengurusan biodiversiti, dan bersama dengan Majlis Biodiversiti Sabah (SBC), pusat ini menjadi kerangka penting bagi pengurusan, pemuliharaan, perlindungan dan pengawasan undang-undang terhadap sumber biologi Sabah.

"Keperluan kerja semakin kritikal, dunia sedang menghadapi cabaran yang belum pernah terjadi dalam kehilangan biodiversiti, perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar.

"Namun, persidangan ini mengingatkan kita bahawa kita juga mempunyai peluang luar biasa untuk membuat perubahan yang bermakna.

"Melalui kerjasama, inovasi dan perkongsian pengetahuan, kita boleh bekerjasama untuk melindungi biodiversiti planet kita dan memastikan kehidupan jutaan orang disokong dengan cara yang lestari serta saksama," katanya.

Sebagai negeri yang empunyai kedudukan unik sebagai titik panas biodiversiti, beliau berkata, Sabah menyedari keperluan mendesak untuk memelihara warisan alam semula jadi.

"Negeri kita adalah rumah kepada spesies ikonik seperti orangutan, monyet proboscis dan gajah pygmy.

"Gunung Kinabalu, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, memiliki pelbagai flora dan fauna yang luar biasa. Kami berbangga melindungi khazanah ini untuk generasi akan datang," katanya.

Hajiji memuji SaBC kerana membawa persidangan penting ini ke Sabah melalui kerjasama dengan organisasi yang sealiran seperti Yayasan Penyelidikan V Sivaram (VSRF), Majlis Penyelidikan Pertanian India-Pusat Institut Penyelidikan Agroperhutanan (ICAR-CAFRI) dan Persatuan Pemuliharaan dan Pembangunan Sumber Tumbuhan Perubatan.

"Saya menggalakkan anda semua untuk terlibat dalam dialog terbuka, berkongsi pandangan dan membentuk kerjasama yang akan membantu kita bergerak dari idea kepada tindakan.

"Biarlah persidangan ini menjadi titik perubahan di mana kita mengambil tanggungjawab bersama untuk masa depan dunia kita dan membuka jalan untuk dunia yang lebih lestari serta harmoni," katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-11-2024 03:11 PM GMT+8 , Processed in 0.679375 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list