DITAHAN: Suspek berjaya ditahan selepas sebulan bersembunyi.
KENINGAU: Suspek yang menetak jirannya sehingga maut di Kampung Linkudau, di sini, pada 19 September lalu, ditahan kelmarin selepas sebulan bersembunyi.
Suspek warga Filipina berusia 43 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan polis ke lokasi untuk mengesan suspek di dalam kawasan perumahan di kampung berkenaan, kira-kira jam 5 petang.
"Usaha mengesan suspek dijalankan di kawasan perumahan Kampung Kauran tetapi suspek dipercayai telah melarikan diri ke kawasan kilang terbiar, hampir 50 meter.
"Operasi mengesan suspek diteruskan dan kira-kira jam 9 malam, pasukan serbuan berjaya mengesan dan menangkap suspek terbabit yang sedang bersembunyi di dalam kawasan semak kira-kira 20 meter dari kilang terbiar," katanya.
Yampil berkata, tiada sebarang pergelutan yang berlaku dan tiada sebarang kecederaan pada suspek dan pasukan serbuan.
"Soal siasat mendapati suspek mengaku menikam mangsa di bahagian tangan atas alasan berasa marah dengan mangsa yang menolong isteri (mangsa) membuat laporan polis.
"Sebaik sahaja kejadian berlaku, suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan hutan di Jalan Tenom dan baharu keluar pada 15 Oktober kerana kelaparan," katanya.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan pakaian dan senjata yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
|