Poster LBAS 2024 di MITEC Kuala Lumpur yang bakal bermula esok, 19 Oktober 2014.
KUCHING: Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 kini kembali dan bakal dibanjiri warga Sarawak di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur pada 19 Oktober ini.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), program LBAS 2024 dimulakan dengan Majlis Pelancaran Pameran LBAS 2024 yang akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung Sarawak Volunteers Dato Sri Fadillah Yusof pada jam 8.30 pagi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula dijangka menghadiri Sesi Townhall 'Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak' yang dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni sebagai moderator pada jam 3 petang.
Manakala pada sebelah malam, Majlis Makan Malam Anak Sarawak akan dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari serta tetamu kehormat yang lain juga akan menghadiri acara kemuncak tersebut.
Dalam pada itu, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung termasuk pameran, ceramah kerjaya, 'Kenyalang Speaks' dan banyak lagi.
Justeru, orang ramai terutama anak-anak Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia dijemput 'berambeh' dan tidak melepaskan peluang bagi memeriahkan lagi program tersebut.
|