SIBU: Pemilik pegangan berkadar dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sibu (MPS) diingatkan untuk menjelaskan cukai taksiran bagi separuh kedua tahun 2024 sebelum 31 Oktober ini.
MPS dalam satu kenyataan, berkata denda lewat sebanyak 1 peratus sebulan akan dikenakan ke atas pembayaran yang dibuat selepas tarikh akhir.
“Ini adalah peraturan yang ditetapkan oleh MPS mengikut peruntukan undang-undang di bawah Bahagian VII Seksyen 74(1) Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1996,” kata MPS.
Katanya, pemilik boleh membuat pembayaran di kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC) di tempat letak kereta bertingkat Pasar Sentral Sibu, di kiosk Service Sarawak atau secara dalam talian melalui Jompay atau S Pay Global.
“Majlis tidak akan melayan sebarang tuntutan bahawa bil tidak pernah diterima,” tambah MPS.
Kaunter pembayaran UTC dibuka pada hari bekerja dari 8 pagi hingga 7 malam dan pada hujung minggu dari 8 pagi hingga 5 petang.
|