Kagan menerima cenderamata berupa buku daripada Abang Johari sebagai tanda ingatan sempena kunjungan hormat beliau terhadap Premier Sarawak, hari ini. - Gambar BERNAMA
KUCHING: Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Sarawak, khususnya dalam sektor gas luar pesisir dan aeroangkasa.
Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata, Sarawak memiliki potensi besar dan kepakaran dalam kedua-dua sektor itu, selain mencapai kemajuan yang ketara dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Perkara tersebut katanya, antara yang dibincangkan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kunjungan hormat beliau ke atas Abang Johari di pejabat beliau di Menara Pelita, Petra Jaya hari ini.
"Kami sedang mencari kaedah untuk menggalakkan pelaburan AS ke Malaysia dan mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan.
"Kami juga berbincang tentang pelbagai perkara daripada gas luar pesisir sehinggalah aerongkasa," katanya menurut laporan Bernama selepas kunjungan tersebut.
Kagan turut memuji usaha Sarawak dalam mempromosikan agenda tenaga boleh diperbaharui.
"Saya sentiasa kagum dengan kepakaran dan komitmen beliau (Abang Johari) untuk mencari jalan memperluas pengeluaran tenaga bersih serta meraih manfaat daripada kemahiran dan keupayaan Sarawak dalam tenaga," tambahnya.
Hadir sama semasa kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Kagan dalam siri lawatan kerja dua hari ke Sarawak dan kunjungan hormat itu adalah kali ketiga, menandakan usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama antara AS dan kerajaan Sarawak.
Tambah Kagan, tujuan utama lawatan beliau ke Sarawak adalah sempena dengan Ulang Tahun Ke-20 Perpustakaan Negeri Sarawak yang ditubuhkan dengan sokongan pemimpin AS.
Katanya lagi, ia adalah salah satu inisiatif paling berjaya yang melibatkan sumbangan daripada AS.
Hari ini, Kagan dijadualkan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-20 American Corner di Pustaka Negeri Sarawak pada jam 2.30 petang.
Selesai mengadakan pertemuan dengan Abang Johari, Kagan melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Dalam pertemuan itu, Kagan dan Uggah berbincang mengenai hubangan erat antara AS dan Malaysia dengan memberi penekanan khusus kepada Sarawak.
Selain itu, mereka berbincang mengenai bidang-bidang yang berpotensi diterokai bersama menerusi jalinan kerjasama yang dimanfaatkan oleh kedua-dua wilayah.
Antara peluang yang boleh memberi situasi 'menang-menang' kepada AS dan Sarawak khasnya ialah sektor perdagangan, pelaburan dan pertukaran budaya.-BERNAMA
|