Julaihi (empat kanan), Abdul Rahman (tiga kanan), Jafri (tiga kiri), Rodziah (dua kanan) bersama yang lain merakamkan kenangan selepas sidang media, hari ini.
KUCHING: Kerajaan Sarawak meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk terus memastikan rakyatnya menikmati bekalan air yang mencukupi dan bersih, berikutan ramalan hampir dua pertiga daripada penduduk dunia akan mengalami tekanan air menjelang 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi yang mengakui kesan perubahan iklim terhadap bekalan air pada masa kini berkata, kementeriannya secara proaktif menaik taraf loji rawatan air sedia ada, sambil membina kemudahan baharu untuk meningkatkan infrastruktur air negeri.
"Setakat yang kita ketahui, perubahan iklim adalah di luar kawalan, tetapi kita mempunyai loji rawatan dan sedang mencuba sedaya upaya untuk menyediakan air yang mencukupi untuk seluruh negeri Sarawak," katanya pada sidang media bagi Pameran dan Persidangan Air dan Air Buangan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2024 di Auditorium Menara LCDA di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias dan Pengerusi Penganjur BIWWEC 2024 Ir Rodziah Mohamad.
Menurutnya, inisiatif semasa yang dijalankan kerajaan Sarawak dalam berhadapan krisis tersebut, antara lain menggantikan serta menaik taraf saluran paip yang sudah lama, menaik taraf loji rawatan air dan membina loji baharu, kesemuanya untuk memastikan kualiti dan kuantiti air memenuhi permintaan.
Memandangkan Sarawak mengalami peningkatan permintaan terhadap air khususnya di kawasan bandar baharu, Julaihi menekankan kepentingan kesedaran mengenai pemuliharaan air dalam kalangan penduduk.
"Walaupun kita bernasib baik kerana mempunyai sumber air yang banyak di seluruh Sarawak, adalah penting bagi penduduk untuk memahami bahawa perubahan iklim boleh menjejaskan ketersediaan air pada masa hadapan," katanya.
Julaihi dalam pada itu berkata, penganjuran BIWWEC 2024 adalah penting dalam menangani cabaran air global dan memupuk penyelesaian yang mampan terutamanya apabila mengaitkannya dengan isu bekalan air bersih.
"Itulah sebabnya BIWWEC ditubuhkan sebagai platform untuk dialog dan pertukaran pengetahuan mengenai isu kritikal ini.
"Sebagai tambahan kepada penceramah dan penaja luar biasa, satu lagi kemuncak BIWWEC 2024 ialah pameran yang menyaksikan lebih 60 peserta mempamerkan kemajuan terkini dalam sektor ini.
"Ia merangkumi penyelesaian rawatan air canggih kepada sistem kitar semula air sisa yang inovatif, peserta pameran ini mewakili masa depan pengurusan air," katanya.
Bertemakan 'Merapatkan Penyelesaian untuk Kelestarian Air' serta slogan 'Flowing Future,' BIWWEC 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada dari 23 hingga 25 Oktober dijangka menarik penyertaan 1,000 delegasi dari Malaysia serta rantau global.
|