CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 49742|Reply: 0

[Sarawak] Bot karam semasa latihan regata akibat arus deras dihasilkan bot nelayan dari arah bertentangan

[Copy link]
Post time 18-10-2024 11:45 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 18-10-2024 03:47 PM



Pasukan bomba menjalankan operasi di sekitar Sungai Sarawak. - Gambar JBPM
KUCHING: Insiden bot karam yang berlaku semasa latihan regata petang tadi membabitkan pasukan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak berpunca pertembungan dengan arus deras yang dihasilkan oleh sebuah bot nelayan dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ia menyebabkan ombak dan seterusnya mengakibatkan air masuk ke dalam bot regata, yang akhirnya mengakibatkan ia karam.

“Akibatnya, bot dinaiki 16 individu itu tenggelam terus ke bawah dan kesemua mangsa berusaha menyelamatkan diri.

“11 individu dilaporkan selamat sementara lima lagi mangsa masih belum ditemui,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di tempat berlakunya insiden bot karam tersebut di kawasan perindustrian Bintawa di sini, hari ini.

Mohd Farhan memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan serta merta petang tadi yang melibatkan 12 agensi, lapan bot, dua ambulans serta 69 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi.


Mohd Farhan menjelaskan kepada pemberita mengenai insiden bot karam yang menjalankan latihan regata berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa di sini, petang tadi. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Sehingga jam 7.20 malam ini katanya, operasi SAR menggunakan bot telah dihentikan berikutan cuaca tidak mengizinkan, sekali gus mengehadkan penglihatan.

Namun menurut beliau, usaha pencarian diteruskan dengan menggunakan dron 'thermal'.

Mohd Farhan menambah, sungai Sarawak memang diketahui mempunyai buaya, namun pihaknya tidak menolak usaha untuk menyelam bagi mencari mangsa di bawah, meskipun berhadapan masalah penglihatan kabur.

Beliau juga memberitahu SAR hari kedua akan diteruskan esok seawal jam 6 pagi dan ia akan dipecahkan kepada dua bahagian dengan satu kumpulan akan bergerak dari lokasi kejadian ke arah muara ke luar laut.

“Manakala satu lagi kumpulan akan bergerak dari arah muara sungai ke atas, dan kita akan dibantu oleh nelayan tempatan dalam usaha mencari mangsa,” katanya sambil menambah, bantuan luar termasuk agensi bukan kerajaan adalah dialu-alukan dan mereka bolehlah melaporkan diri di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).


Pasukan bomba menjalankan operasi di sekitar Sungai Sarawak. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Mohd Farhan dalam pada itu menasihati orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi mengenai insiden terbabit dan menegaskan bahawa ia masih dalam siasatan.

“Untuk mendapatkan keterangan dan maklumat lanjut, bolehlah merujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, manakala bagi keluarga yang masih kehilangan ahli, sila hadir ke IPD untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.47 petang tadi mengakibatkan lima mangsa berusia antara 23 hingga 34 tahun dikhuatiri lemas.

Mereka dikenal pasti sebagai Mohammad Ikhmal Sama'ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan  Muhammad Khairul Hisham Kasturi.

Setakat berita ini ditulis, pihak bomba dan pihak polis marin masih berusaha mencari lima orang lagi mangsa yang belum dijumpai.


Mangsa-mangsa yang selamat menyaksikan operasi SAR, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad




Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-11-2024 05:20 PM GMT+8 , Processed in 0.061837 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list