Aaron berucap pada majlis makan malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 edisi ke-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada malam Sabtu.-Gambar UKAS
KUALA LUMPUR: Kestabilan politik dan perpaduan menjadi asas kekuatan Sarawak berjaya memperkukuhkan kedudukannya bukan sahaja di dalam negara malah di mata dunia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, kesemua kejayaan besar yang dicapai Sarawak setakat ini tidak akan dapat dicapai tanpa kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian kaum.
"Kita amat bersyukur kerana berkat kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Sarawak telah berjaya memperkukuhkan kedudukannya bukan sahaja di dalam negara malah di mata dunia.
"Namun percayalah kesemua kejayaan besar yang dicapai Sarawak setakat ini tidak akan dapat kita capai tanpa kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian kaum.
"Kerana kestabilan politik dan perpaduan yang menjadi asas kekuatan kita di Sarawak maka, kita telah mencatat kejayaan demi kejayaan dalam menuntut hak-hak Sarawak, seterusnya berjaya membina ekonomi Sarawak yang lebih ampuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 Edisi ke-15 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada malam Sabtu.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, barisan Menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri serta tetamu kehormat lain.
Dalam pada itu, Aaron berharap semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat Sarawak akan terus terpelihara dan bertambah demi Sarawak maju dan makmur.
"Setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhomat Premier Sarawak dan isteri serta seluruh barisan kepimpinan kerana dapat berambeh dengan lebih 6,000 anak Sarawak di Semenanjung pada malam ini.
"Walaupun kita semua tahu betapa sibuknya Premier Sarawak dalam menguruskan negeri, namun beliau tetap meluangkan masa untuk bersama kita semua," katanya.
Mengenai Lan Berambeh Anak Sarawak, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lan Berambeh Anak Sarawak 2024 berkata ia sebenarnya bukan sekadar wadah untuk berambeh beramai-ramai, tetapi ia adalah simbol kebersamaan, keharmonian, dan kasih sayang sesama anak-anak Sarawak.
Selain itu, beliau memberitahu Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak mendapati media sosial merupakan cabaran yang akan menghakis kesepaduan sosial terutama dalam kalangan anak muda.
Justeru, Aaron menegaskan, penguatkuasaan undang-undang siber perlu dilaksanakan bagi membendung hakisan sosial yang berlaku dalam talian.
Beliau berkata, kajian berkenaan juga mendapati generasi muda cenderung percaya kepada berita palsu dikongsi dalam alam maya yang sering menganggu keharmonian etnik.
|