![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241019/kch-ub191024-rm-fadillahlan-p1.jpeg)
Fadillah ditemui pemberita semasa menghadiri program Lan Berambeh Anak Sarawak edisi ke-15 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR: Sarawak merancang untuk menarik lebih ramai anak Bumi Kenyalang yang berbakat dan berkemahiran kembali ke negeri ini untuk bersama-sama membangunkan ekonomi dalam usaha menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, Sarawak meletakkan dirinya sebagai hab untuk pertumbuhan teknologi dan ekonomi melalui pelaburan strategik dalam pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
Beliau menegaskan visi negeri adalah untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, dipacu oleh sektor seperti hidrogen, teknologi hijau, dan ekonomi digital.
"Kami mempunyai strategi untuk bergerak ke hadapan, melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS), dengan fokus utama pada teknologi seperti hidrogen, teknologi hijau dan ekonomi digital.
"Untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kami memerlukan rakyat - dan itulah sebabnya kami banyak melabur dalam pendidikan dan pembangunan bakat," ujarnya ketika ditemui pemberita pada program Lan Berambeh Anak Sarawak edisi ke-15 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air turut menekankan Sarawak berada di landasan tepat dan menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai beberapa universiti dan institusi milik kerajaan negeri menerusi Yayasan Sarawak.
Jelasnya, ini bagi membantu Sarawak melahirkan lebih tenaga profesional yang berkemahiran tinggi.
"Sarawak mempunyai Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan institusi lain.
"Jadi, kami sedang meneliti perspektif akademik dan juga kepakaran teknikal. Itulah sebabnya kami menyediakan pendidikan percuma pada 2026 untuk bidang tertentu supaya mereka ini dapat memenuhi apa jua keperluan Sarawak," tambahnya.
Fadillah berkata, tumpuan Sarawak terhadap pendidikan dan inovasi sudah mula membuahkan hasil, dengan rakyat Sarawak bekerja di luar negara dalam pelbagai bidang termasuk sektor perubatan, saintifik dan teknikal mula kembali untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Anda akan terkejut apabila mengetahui bahawa ramai rakyat Sarawak yang bekerja di luar negara sudah kembali untuk berkhidmat di negeri ini dalam pelbagai sektor," katanya.
Walaupun tiada angka tepat mengenai jumlah rakyat Sarawak yang pulang, Fadillah mengakui kini ramai yang bekerja dengan syarikat utama seperti PETROS dan Petchem, serta di universiti dan dalam bidang perubatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan lebih ramai tenaga kerja diperlukan untuk mengisi kekosongan yang semakin meningkat merentasi pelbagai sektor.
"Inilah sebabnya kami memberi tumpuan untuk mempercepatkan pendidikan dan latihan seramai mungkin rakyat Sarawak.
"Dengan memperoleh pengetahuan, kepakaran dan pengalaman dengan cepat, mereka akan bersedia untuk memenuhi permintaan negeri," ujarnya.
|