KUCHING: Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri berpaksikan 'Rakyat First' sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat rakyat dan menjunjung hak rakyat, termasuk Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar) berkata menerusi Belanjawan 2025, fokus utama kerajaan adalah menjana perubahan menerusi tanggungjawab fiskal dan tadbir urus, membugar ekonomi dengan menaikkan siling menerusi peningkatan produktiviti dan pendapatan negara serta mensejahterakan rakyat menerusi meninggikan lantai taraf hidup dan memperkukuh keselamatan sosial.
Katanya, malahan peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion ringgit.
"Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah).
"Mulai 2025, kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta ringgit," katanya menerusi kenyataan, semalam.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada Jumaat.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion.
Katanya ia meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau.
Sementar, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024.
Katanya, secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion.
Kerajaan juga katanya, telah memuktamad empat pakej kerja Sabah Sarawak Link- Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion.
"Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun," katanya lagi.
Menurut Fadillah, kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.
"Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan RM1 bilion.
"Saya memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pembinaan projek," katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik Belanjawan 2025 yang turut mengangkat martabat rakyat menerusi lonjakan reformasi ekonomi dari sudut kemampanan sumber tenaga dan air.
Belanjawan 2025 memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga dan air, dengan jumlah peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM4.95 bilion.
Katanya, ia meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion.
"Dengan situasi semasa perubahan iklim yang semakin ketara hingga mengakibatkan cuaca ekstrem dan mendorong kepada kejadian banjir, PETRA terus komited untuk melaksanakan projek Tebatan Banjir sebagaimana diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2025," tegasnya.
Fadillah berkata, Belanjawan 2025 jelas memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam mengutamakan rakyat dan mengangkat martabat rakyat, membetulkan ketidakcekapan masa lalu dan membina asas kukuh dan mampan untuk pertumbuhan masa depan negara.
"Ini termasuk dengan memperkasakan pelaksanaan agenda serta dasar peralihan tenaga dan transformasi air, demi manfaat rakyat secara holistik dan bersepadu," katanya.
|