OPERASI: Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran supaya tidak merebak ke kawasan lain.
TAWAU: Tiga buah rumah musnah terbakar dalam kejadian di Lorong Melur 4 Kampung Baru Pasir Putih, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.19 pagi.
Katanya, seramai 20 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati tiga buah rumah jenis separuh kekal sudah musnah terbakar dan operasi terus dijalankan supaya api tidak terus merebak ke kawasan lain.
“Operasi pemadaman menggunakan tiga aliran dari sumber air jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini kebakaran hanya membabitkan kerosakan harta benda sahaja, tiada laporan mengenai kecederaan atau kemalangan jiwa yang dialami mangsa.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.21 pagi.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pasukan forensik BBP Tawau bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian mangsa,” katanya.
Terdahulu, operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
|