TULAR: Kes gaduh berkumpulan guna senjata berbahaya yang tular di media sosial.
LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya di Jalan Bypass, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki yang membuat laporan di Balai Polis Lahad Datu.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian yang turut tular di media sosial itu disebabkan ketidakpuasan hati berkenaan kemalangan yang berlaku sebelum itu.
“Punca kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati dengan kemalangan yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.
“Kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut, polis berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan dan kini sedang berusaha mengesan lain-lain suspek yang masih bebas dalam kejadian ini.
Jimmy menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga ketenteraman awam dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan supaya tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes, Sarjan Fitzeraldfield Anak Sudy di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
|