BUNUH: Lokasi yang dipercayai mangsa dibunuh dalam kejadian berkenaan.
LAHAD DATU: Isteri mangsa antara empat individu yang ditahan bagi membantu siasatan satu kes bunuh seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang berlaku di Batu 3 Jalan POIC, di sini, Khamis lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12.34 tengah hari, pada hari yang sama.
Katanya, laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang mengatakan bahawa suaminya telah meninggal dunia dipercayai akibat dibunuh.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Batu 3 Jalan POIC dan kemudian mangsa telah dibawa ke rumahnya di Taman Fajar untuk dikebumikan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan tikaman di dagu sebelah kanan, tetakan di belakang kepala dan dahi kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang dan pinggang.
“Mayat terbabit kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya.
Jimmy berkata, dua suspek lelaki dan seorang wanita iaitu isteri mangsa telah ditahan pada hari kejadian, manakala seorang lagi suspek lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan.
“Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.
“Kes ini siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
|