RAMPAS: Dadah jenis syabu yang dirampas daripada suspek.
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan dalam satu serbuan pada jam 3.30 petang 31 oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 20-an itu menemukan 10 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan hablur jernih.
“Pemeriksaan mendapati kesemua bahan terbabit disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu) seberat 501.29 gram dalam yang dianggarkan bernilai RM16,000 mengikut harga pasaran secara keseluruhan.
“Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine selepas ujian saringan awal air kencing dibuat,” katanya.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mandatori atau penjara seumur hidup. Katanya, suspek juga boleh disebat tidak kurang 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) akta sama dan kedua-dua suspen kini ditahan reman.
“Pihak polis juga mengingatkan masyarakat agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya.
|