KUCHING: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menganjurkan program Encouraging Responsibility Accountability Trustworthiness (ERAT) di Dewan Pertubuhan Peladang, Kota Samarahan, Sarawak pada 9 November ini.
EAIC dalam kenyataan hari ini berkata, program yang akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 4 petang itu akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pejabat Residen Bahagian Samarahan.
Ia bertujuan mempromosikan kesedaran mengenai kebertanggungjawapan, akauntabiliti dan kepercayaan dalam usaha membanteras salah laku penguat kuasa serta membudayakan integriti sebagai teras perkhidmatan awam.
Majlis ini akan dihadiri agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai-pegawai agensi awam serta orang awam.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk Jualan Rahmah, kaunter diskaun bayaran saman polis, pemeriksaan kesihatan, derma darah, aktiviti kanak-kanak termasuk pertandingan mewarna, pencarian harta karun dan seni wajah, persembahan kebudayaan, food truck dan pertunjukan haiwan liar.
EAIC telah menjalankan beberapa siri program ERAT bersama penguat kuasa dan masyarakat di Kelantan, Perak, Melaka, Konvoi Motosikal ERAT, ERAT Alam Sekitar (Kempen 100 Juta Pokok), Negeri Sembilan, ERAT Ihya Ramadan bersama Geng Subuh Macam Jumaat, Kuala Lumpur dan ERAT Tayangan Filem Sheriff Narko Integriti, Putrajaya.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir dan memeriahkan program ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Urus Setia ERAT EAIC Sarawak di e-mel iaitu [email protected] atau hubungi 019 211 1859 / 011 1110 1082 / 010 547 6697.
|