(Dari kiri), Robiah, Lukanisman dan Jamaluddin bersama penceramah dan peserta pada Program Remaja: Ku Sentuh Hatimu di Miri.
MIRI: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Miri menambah penyertaan untuk Program Remaja: Ku Sentuh Hatimu pada siri akan datang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program tersebut hari ini.
"Pada masa akan datang PERKIM menambah jumlah penyertaan baharu pada siri-siri akan datang dan konsep diperkenalkan adalah mengambil semula pelajar yang dilihat mempunyai perubahan sikap sangat drastik dijadikan sebagai fasilitator untuk membantu rakan sebaya," katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan itu memberitahu, penyertaan untuk siri kedua pada hari itu mendapat penyertaan sangat baik. Ia disertai seramai 69 pelajar dari enam sekolah di Miri.
Lukanisman berkata, program memberi tumpuan kepada pelajar-pelajar yang dirasakan memerlukan bantuan dari sudut psikososial dan ilmu berbentuk kerohanian. Pelajar dikenal pasti adalah merupakan pelajar dipilih termasuk mereka yang berdepan isu-isu disiplin dan sikap.
"Menerusi program ini, pelajar-pelajar belajar menangani masalah pada diri sendiri. Pengisian program banyak bersifat pembentukan peribadi dan kerohanian," jelasnya.
Pengerusi PERKIM Miri Robiah Hasbi berkata siri pertama program disertai seramai 55 pelajar yang turut dibawa menyertai Program Santai Berambih Ku Sentuh Hatimu bagi memupuk nilai-nilai positif dan mempererat ikatan persahabatan dalam kalangan mereka.
Beliau memberitahu, seramai 14 peserta baharu mengikuti program siri kedua dengan jumlah keseluruhan 69 orang.
Hadir sama Ketua Bahagian Kemajuan Keluarga Islam Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Jamaluddin Taim dan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Miri Unit Hal Ehwal Murid Aziz Tahir.
|