Ting menyerahkan surat kepada Yii (tiga kanan) disaksikan Abang Johari (tengah), Lee, Abdul Karim, Hii, Abdullah bersama wakil Persatuan Kaum di Titian Perpaduan Sarawak. - Gambar Penerangan
MIRI: Titian Perpaduan Sarawak yang terletak di Taman Bulatan Miri mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk Salam Dialek Etnik Terbanyak Di Titian Perpaduan.
Perasmian titian itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg petang Sabtu.
Projek itu dilaksanakan sempena penganjuran Karnival Kebudayaan Taste of Borneo (TOB) 3.0 yang diadakan di parkir pusat beli-belah Boulevard melibatkan penyertaan 20 persatuan kaum di sini.
Abang Johari turut menyaksikan penyerahan surat projek daripada Pengerusi Bersama TOB dan Presiden Persatuan Cina Sarawak Ting Pang Soon kepada Datuk Bandar Adam Yii untuk diserahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Titian itu merupakan salah satu daripada dua projek MBOR pihak jawatankuasa TOB pada tahun ini.
Rekod baharu kedua yang ingin dicipta ialah Barangan Kraf Etnik Terbanyak Dipamerkan Dalam Satu Acara. Barangan kraf itu dipamerkan di Kampung Budaya TOB.
Abang Johari menunjukkan tanda bagus bersama Lee (kanan), Hii, Abdullah, Ting dan Harry (kanan) setelah menandatangani plak di papan salam etnik Titian Perpaduan Sarawak. - Gambar Penerangan
Sijil rekod tersebut akan disampaikan pada majlis perasmian TOB yang akan disempurnakan oleh Abang Johari pada sebelah malamnya.
Sementara itu, pengerusi penganjur Harry Lee mengesahkan kejayaan projek Titian Perpaduan Sarawak dimasukkan dalam MBOR.
Beliau berkata, tempoh setengah tahun diperlukan untuk mereka dan membina titian itu.
Rekaan titian itu katanya, diinspirasikan oleh jambatan buluh yang banyak ditemui di kebanyakan kawasan luar bandar di Borneo.
Menurut Lee, sebanyak 70 salam dialek kaum dan etnik diukir di papan tanda kayu di titian itu.
"Titian Perpaduan ini melambangkan hubungan antara semua kumpulan etnik dan kita semua hidup bersama 'Segulai Sejalai.'
"Titian ini mewakili kekuatan kerjasama dalam kalangan kita semua. Apabila kita bersatu dan bekerjasama, kita boleh mencapai sesuatu yang bermakna," jelas Lee.
Lee berkata, di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak berjaya menyerlahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol serta Pengasas dan Ketua Penyelaras Acara TOB Datuk Hii King Chiong.
|