SUSPEK
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing menjadi orang dikehendaki polis selepas dipercayai terbabit dengan insiden pergaduhan di Jalan Bypass, di sini, Ahad lalu.
Suspek yang dikenali sebagai Acok Kepala, 30-an, tidak mempunyai dokumen diri beralamat di Kampung Pisang.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lanjut berhubung suspek terbabit untuk tampil membantu siasatan.
“Pihak polis sedang mengesan suspek terbabit dan meminta orang ramai membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Fitzeraldfield Anak Sudy di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan.
Terdahulu, tular satu video di media sosial berdurasi 10 saat memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Bypass, pada 3 November lalu.
Pergaduhan itu dipercayai berpunca perasaan tidak puas hati dengan kemalangan yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.
Susulan daripada siasatan yang dijalankan, polis berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terbabit bagi membantu siasatan.
|