Keadaan kediaman penduduk yang ranap dalam kebakaran di Ba Abang, Long Sepatai, Ulu Baram pada Ahad. - Gambar JBPM
MIRI: Seramai 56 orang penduduk dari 12 pintu rumah kampung di Ba Abang, Long Sepatai, Ulu Baram tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dijilat api dalam kebakaran pada petang Ahad.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku memandangkan semasa kejadian, semua penghuni berada di sebuah gereja berdekatan.
Menurut Ketua Bahagian Penyiasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal, maklumat lengkap berhubung kebakaran itu hanya diperolehi petang semalam.
Jelasnya, ia setelah dua pegawai penyiasat dari JBPM Zon 6 bersama dua pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan dua pegawai dari Pejabat Daerah Telang Usan pergi ke lokasi dengan menaiki helikopter milik JBPM.
Katanya, penerbangan ke lokasi kejadian mengambil masa sejam lima minit.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 4 petang Ahad lalu (3 November) dan api yang marak telah padam sendiri selepas 30 minit terbakar.
"Semasa kejadian, semua penghuni berada di Gereja BEM Ba Abang yang terletak berdekatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Awangku, sebanyak 12 buah rumah jenis tidak kekal setingkat berukuran 25" x 40" setiap satu yang dibina saling berdekatan dan ada yang bersambung telah musnah sepenuhnya menyebabkan 56 penghuni hilang tempat tinggal.
"Saksi utama kejadian memaklumkan kebakaran disedari bermula dari rumah No.7 sebelum merebak ke tempat lain.
"Tiada operasi memadam dilakukan kerana kebakaran telah padam sepenuhnya." ujar beliau lanjut.
Oleh itu katanya, operasi pada Isnin hanya melibatkan pengesahan dan pengumpulan maklumat mangsa untuk tujuan penyiasatan serta penghantaran bantuan bekalan makanan kepada mereka yang terjejas.
Dalam kejadian itu, sekitar jam 9.12 malam pada Ahad, Balai Bomba dan Penyelamat Marudi telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang pemanggil yang menyatakan sebuah rumah panjang milik kaum Penan di Ba Abang, Long Sepatai di Ulu Baram musnah dijilat api.
Bagaimanapun, pihak bomba tidak dapat menghubungi penduduk yang terlibat untuk mendapatkan maklumat awal kebakaran disebabkan tiada liputan telefon.
|