JOHOR BAHRU - Seramai 75 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam beberapa operasi di kawasan hotspot di bandar raya ini selama tiga hari bermula Ahad.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pertama dilakukan sekitar Pasir Gudang dan Desa Cemerlang bermula jam 12 tengah hari Ahad hingga 1.30 tengah hari Isnin.
Sebanyak 28 restoran dan medan selera yang menjadi kawasan hospot warga asing bekerja diserbu dalam Ops Selera, Ops Dandan, Ops Belanja dan Ops Kutip. Foto JIM Johor
Jelas beliau, sebanyak 28 restoran dan medan selera yang menjadi kawasan hospot warga asing bekerja diserbu dalam Ops Selera, Ops Dandan, Ops Belanja dan Ops Kutip.
“Menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, seramai 133 warga asing dan warga tempatan diperiksa.
“Daripada jumlah itu, 68 warga asing ditahan melibatkan 10 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, 19 lelaki dan 26 wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, dua lelaki India dan seorang lelaki Nepal.
“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 13 notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan JIM bagi membantu siasatan.
|