Fatimah bersama anggota agensi lain yang terlibat dalam operasi yang diadakan di sekitar Kuching, malam Isnin.
KUCHING: Sejumlah 107 orang gelandangan berjaya diselamatkan hasil daripada operasi menyelamat dan cerapan geladangan secara bersepadu di seluruh negeri setakat Oktober 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pravalens yang tertinggi menunjukkan di Kuching dengan seramai 14 orang gelandangan, diikuti Sibu (43); Bintulu (14); dan Miri (15).
Menurut beliau, antara punca menyebabkan mereka menjadi gelandangan adalah masalah keluarga iaitu 10 peratus; masalah kesihatan mental (11 peratus); tiada tempat tinggal (28 peratus); ketagihan minuman kertas dan substance (tujuh peratus), penagihan dadah (enam peratus); dan tiada pekerjaan (19 peratus).
“Bagi membantu golongan rentan yang terjebak di dalam isu gelandangan, Kementerian ini telah mewujudkan Tempat Transit Gelandangan (TTG) di mana untuk menyediakan kemudahan transit sementara, khidmat sokongan dan rujukan intervensi seperti saringan kesihatan, bimbingan, latihan dan penyelesaian isu-isu sosial lain yang mereka hadapi.
“Di situ kita bukan sahaja menyediakan tempat tidur, makanan, pakaian dan diberikan kursus kemahiran penjanaan pendapatan seperti TTG di Sibu, di mana ada di kalangan mereka berjaya mendapat pekerjaan seperti pengawal keselamatan, pembantu kedai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat Operasi Gelandangan Daerah Kuching di sini, malam Isnin.
Menurut Fatimah kerajaan negeri komited untuk menyediakan sistem sokongan kepada golongan itu dengan menyediakan TTG di mana kerajaan negeri telah memperuntukkan dana bagi memperkasakan lagi pengoperasian TTG di seluruh negeri.
Ujarnya perkara itu telah diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Persidangan DUN, Isnin lepas di mana kerajaan negeri menyediakan sejumlah RM1.8 juta peruntukan bagi pengoperasian TTG Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu.
“TTG yang pertama ditubuhkan adalah TTG Sibu yang telah mula beroperasi pada 6 Disember 2021 dan Shan Xin Charity Organization telah dilantik sebagai anchor Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Fatimah bersama anggota agensi lain yang terlibat dalam operasi yang diadakan di sekitar Kuching, malam Isnin.
“Sejak beroperasi seramai 184 orang telah diselamatkan dengan pecahan 140 orang lelaki dan 44 orang perempuan.
“Setakat ini, hanya 20 orang yang menginap di TTG Sibu (13 orang lelaki dan 7 orang perempuan). Menjadikan jumlah gelandangan yang telah berjaya diselamatkan seramai 164 orang,” katanya.
Fatimah berkata, bagi TTG Bintulu ia kini dalam proses dengan 73.25 peratus, yang dijangka akan siap sepenuhnya pada April 2025; dan TTG Miri(32 peratus) yang dijangkan akan siap sepenuhnya pada Mac 2025.
Bagi TTG Kuching beliau berkata ia akan beroperasi pada hujung bulan Disember ini dan harapan dengan kemudahan seperti ini akan dapat membantu menyelesaikan isu gelandangan di Bahagian Kuching ini.
Sementara itu, dalam Operasi Gelandangan Daerah Kuching yang diadakan malam Isnin merupakan operasi bersepadu Jawatankuasa Pengurusan Gelandangan Sarawak (JPGS) peringkat Bahagian Kuching dan Daerah Kuching yang diketuai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak dan Pejabat Kebajikan Bahagian Kuching melibatkan kolaborasi 12 buah agensi dan 80 anggota.
Hasil operasi berjaya menyelamatkan tujuh orang gelandangan di kawasan sekitar Tebingan Kuching, Jalan Padungan, dan kawasan Tabuan dan Satok.
|