KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membina perumahan dan fasiliti baharu untuk penjawat awam di seluruh negeri tahun depan dengan nilai skim RM3.55 bilion.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan perumahan dan fasiliti baharu ini adalah bagi menangani kekurangan perumahan kerajaan untuk penjawat awam.
“Pentadbiran saya komited untuk menangani kekurangan perumahan kerajaan untuk penjawat awam.
“Untuk itu, kita akan membina perumahan dan fasiliti baharu untuk penjawat awam di seluruh Sarawak dengan nilai skim RM3.55 bilion.
“Pembinaan dijangka bermula pada 2025 dengan peruntukan awal RM200 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Tambah Abang Johari, pentadbirannya juga akan fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam Sarawak (SCS) mengambil kira peningkatan kos sara hidup.
Justeru katanya selari dengan pembaharuan penjawat awam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri telah mengadaptasi Sistem Saraaan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini dengan perbelanjaan RM67 juta dalam Belanjawan Negeri 2025.
Sebagai mengiktraf sumbangan dan dedikasi SCS, kerajaan kata Abang Johari akan menyediakan elaun khas untuk penjawat awam Sarawak dengan impak kewangan tahunan awal RM102 juta tahun depan.
“Selari dengan pembaharuan ini Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan Sistem Pengurusan Prestasi bagi SCS ke arah penjawat awam berkelas dunia.
“Justeru saya menggesa semua penjawat awam untuk meneruskan dedikasi dan usaha keras mereka dalam menambah baik produktiviti dan penyampaian perkhidmatan yang efektif kepada rakyat,” katanya.
Bagi memperkasakan keupayaan SCS, Abang Johari berkata sejumlah RM18.5 juta akan diperuntukkan di bawah Belanjawan Negeri 2025 untuk inisiatif latihan dan pembangunan penjawat awam.
Manakala sejumlah RM21 juta lagi akan diperuntukkan bagi membangun pelbagai projek ICT kerajaan dan RM107 juta akan disediakan bagi penyelenggaraan sistem pada 2025.
|