PERIKSA: Semua PTI terbabit melalui pemeriksaan Imigresen sebelum dihantar pulang menggunakan pengangkutan laut.
TAWAU: Seramai 227 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk balik ke negara asal, hari ini.
Semua PTI terbabit dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 107 lelaki, 71 wanita dan 49 kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah.
Katanya, program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia daripada Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI).
“Ini adalah program pemindahan siri ke-19 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri Purnama Express dan Labuan Express.
“Semua PTI berusia lingkungan dua hingga 82 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
“Pemindahan PTI akan dilakukan setelah melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.
“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah,” katanya.
|