Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ASP Radzani Rashid (kiri) bersama Inspektor Tan Soon Teck menunjukkan dadah yang dirampas.
MIRI: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM1,991,700 dalam operasi di bahagian luar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri pada 6 November lalu.
Suspek berusia 36 dan 42 tahun itu ditangkap dalam operasi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dalam kenyataan hari ini berkata, suspek pertama tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sementara suspek kedua mempunyai rekod kesalahan lampau.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah Methamphetamine, Amphetamine dan Benzo.
Dadah yang dirampas adalah pil Erimin 5 seberat 10,830 gram, pil ekstasi seberat 4,100 gram dan syabu seberat 7,000 gram.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 102,817 orang penagih," jelasnya.
Mancha memberitahu, maklumat mendedahkan bekalan dadah diperolehi dari Semenanjung Malaysia sebelum membawa masuk ke Miri melalui lapangan terbang. Suspek menerima upah sebanyak RM5,000 dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.
Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri ASP Radzani Rashid (kiri) bersama Inspektor Tan Soon Teck menunjukkan dadah yang dirampas.
Beliau berkata, perintah reman telah diperolehi selama enam hari bermula 7 hingga 13 November untuk kedua-dua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan.
Beliau memberitahu, JSJN bertekad untuk memerangi habis-habisan dadah dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN menerusii talian 012- 2087222.
|