Bomba potong dua cincin tersekat pada kemaluan lelaki
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 16, 2024 @ 4:51pm [email protected]
Anggota bomba membantu memotong dua cincin yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki di HSAH. - Foto ihsan bomba
SUNGAI PETANI: Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memotong dua cincin yang tersangkut pada alat sulit seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada jam 2.12 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Sejurus tiba, pihak hospital memaklumkan seorang mangsa lelaki dewasa berusia 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.
"Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong sehingga selesai sepenuhnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Azahari berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan mangsa mengalami kecederaan lebih serius.
"Bagaimanapun, lelaki itu mengalami luka di bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.
"Operasi tamat jam 3.10 petang," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/11/1324761/bomba-potong-dua-cincin-tersekat-pada-kemaluan-lelaki
|