MAZLAN
KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2025 dengan tema 'Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera' yang dibentang Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun petang tadi membuktikan kerajaan mempunyai matlamat yang jelas melaksanakan pembangunan secara lebih inklusif.
Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, Mazlan Joehari Manan berkata, belanjawan kali kini dilihat lebih memfokuskan kepada kebajikan rakyat serta jaringan infrastruktur dalam usaha menangani isu berkaitan infra sekaligus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Belanjawan yang lebih besar kepada pembangunan infrastruktur sudah pasti dapat memberikan lebih kesejahteraan hidup rakyat apabila akan lebih banyak kemudahan rakyat di selenggara dan diperbaiki.
"Begitu juga belanjawan dalam aspek pembangunan jaringan infrastruktur, yang secara langsung berupaya membantu meningkatkan kegiatan ekonomi rakyat dan pelabur-pelabur luar yang datang ke Sabah, " katanya.
Dalam pada itu, Mazlan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan berkata, bantuan secara langsung RM300 kepada kumpulan sasar menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat dalam Belanjawan Sabah 2025 dilihat mampu membantu meningkatkan sosial dan taraf hidup golongan terkesan.
Katanya lagi, bantuan baharu dan lama yang diteruskan kepada sektor pendidikan juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Sabah terhadap peningkatan pendidikan anak-anak Sabah dalam menuju Sabah yang lebih maju di masa depan.
"Belanjawan Sabah pada hari ini telah merangkumi pelbagai aspek kesejahteraan hidup rakyat, pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini.
"Semoga keprihatinan kerajaan ini akan terus mendapat sokongan rakyat dalam barisan kepimpinan Sabah membawa negeri ini lebih maju di masa hadapan, " katanya.
|