Abang Johari menyampaikan hadiah kepada pemenang utama hadiah cabutan bertuah pada majlis tersebut. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang melihat untuk melanjutkan tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika memberi maklum balas terhadap cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong, yang menyatakan perlunya lebih banyak masa untuk perbincangan mendalam mengenai isu-isu penting melibatkan kawasan DUN masing-masing.
“Untuk permohonan itu, saya serahkan kepada Speaker DUN kita Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar bagi meneliti perkara ini,” katanya ketika berucap pada majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night yang diadakan di sebuah hotel di sini, pada malam tadi.
Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Allan menekankan bahawa Ahli Dewan memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan dan membahaskan isu-isu di kawasan mereka secara menyeluruh.
Allan turut menyuarakan rasa kesal susulan rakan sekerja beliau hanya diberi masa terhad untuk bertanya soalan di persidangan DUN.
“Kita juga mahu sesi soal jawab bersama Menteri dilanjutkan,” katanya.
Dalam pada itu, Allan ketika berucap menyatakan keyakinan terhadap kekuatan kolektif gabungan itu, menekankan keupayaan mereka untuk mengatasi cabaran dan mencapai visi bersama mereka.
“Jalan di hadapan mungkin tidak selalu mudah, tetapi dengan semangat ‘One for All and All For One,’ kita tidak dapat dihalang.
“Bersama-sama, kita akan terus menegakkan prinsip yang mendefinisikan kita dan membawa kemajuan untuk negeri kita,” katanya.
Hadir sama semasa majlis, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Timbalan-Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki serta tetamu kehormat yang lain.
|