Abang Johari dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas merakamkan kenangan bersama para pelajar IPT di DUN, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Semua pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia akan menerima wang saku sebanyak RM1,200 tanpa mengira tahap pendapatan keluarga, bermula tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah komitmen Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan kebajikan bakat anak muda Sarawak dijaga dengan baik.
Semasa program Lan Berambeh 2024 yang lalu, beliau mengumumkan bantuan kewangan khas dalam bentuk wang saku untuk pelajar pengajian tinggi.
"Dalam ucapan Belanjawan 2025, saya telah memberikan butiran lanjut mengenai wang saku sebanyak RM1,200, yang akan diberikan kepada pelajar dari kumpulan berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah per kapita RM1,500 atau kurang.
"Bagaimanapun, beberapa Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai penggunaan pendapatan per kapita sebagai kriteria kelayakan untuk bantuan ini.
"Saya telah mendengar kebimbangan tersebut, dan dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak di IPT di seluruh Malaysia akan layak menerima wang saku ini tanpa mengira pendapatan keluarga mereka," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangam Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pelajar Sarawak yang belajar di IPT adalah saluran bakat untuk masa depan negeri ini dan setelah menamatkan pengajian, mereka yang akan menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
"Justeru, saya mahu pelajar kita dapat memberi tumpuan 100 peratus kepada pengajian mereka dan tidak risau tentang mencari dana yang mencukupi untuk makanan atau pengangkutan," katanya.
Sementara itu, Abang Johari ketika ditemui memaklumkan mekanisme pembayaran wang saku kepada pelajar IPT akan ditentukan oleh Yayasan Sarawak.
|