Wanita sarat mengandung dipindahkan ke tempat selamat sebelum dihantar oleh orang awam menaiki van ke Hospital Kapit.
KAPIT: Seorang wanita sarat mengandung yang diselamatkan dari banjir di Rumah Engkeng, Sungai Amang berjaya melahirkan bayi perempuan seberat 2.7 kilogram di Wad Bersalin Hospital Kapit jam 7.33 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Timoty Barat ketika dihubungi berkata operasi menyelamat dimulakan selepas panggilan kecemasan diterima jam 5 pagi.
"Keadaan banjir sangat kritikal dengan paras air mencecah tiga meter dan hampir memasuki lantai rumah panjang.
"Pasukan penyelamat tiba hanya 11 minit selepas menerima panggilan kecemasan," katanya.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota diketuai PBK II Muhammed Sufyian Abdullah menggunakan tali dan perahu penduduk kampung untuk memindahkan tiga mangsa termasuk wanita mengandung berusia 26 tahun dalam keadaan kritikal.
“Wanita itu tidak dapat menahan proses kelahiran dan orang awam nekad membawanya ke hospital menggunakan van. Syukurlah ibu dan bayi kini dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Operasi tamat jam 7.40 pagi setelah dua lagi mangsa termasuk seorang lelaki berusia 28 tahun dan seorang wanita dewasa berjaya dipindahkan ke lokasi selamat.
|