GAMBAR Hiasan
Johor Bahru: Bermula dengan pelaburan permulaan RM100,000, seorang kerani kedai emas akhirnya kerugian lebih RM2.65 juta apabila sebenarnya tertipu dengan skim pelaburan yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 49 tahun, semalam mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan secara dalam talian.
"Menurut mangsa, pada akhir Ogos lalu, dia melihat iklan pelaburan di laman sosial dan menekan pautan pada iklan itu untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Mangsa kemudiannya telah dihubungi oleh beberapa individu yang telah memberi penerangan atas pelaburan yang dianjurkan dengan pulangan sehingga sembilan peratus dari jumlah pelaburan.
"Pada pertengahan Oktober lalu, mangsa telah membuat pelaburan awal sebagai percubaan berjumlah RM100,000 dan menerima keuntungan berjumlah RM12,100," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pulangan yang diterima menyebabkan mangsa merasa yakin pelaburan itu betul dan boleh menjana keuntungan.
Katanya, mangsa kemudian berhasrat untuk mendapat keuntungan yang lebih banyak dan antara Oktober hingga akhir bulan lalu, mangsa mengikut arahan suspek dengan memasukkan wang berjumlah RM2,656,600 dari akaun bank miliknya sendiri dan milik pasangan ke beberapa akaun bank yang berlainan.
"Mangsa tidak menerima sebarang pulangan atas pelaburan itu, sebaliknya dia diarahkan membuat pelbagai bayaran lain sebelum wang keuntungan dibayar dan wang pokok dikembalikan
"Arahan itu membuatkan mangsa syak ditipu dan seterusnya membuat laporan polis di Batu Pahat, Johor," katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, Kumar menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang dilihat di media sosial dan secara dalam talian yang menjanjikan keuntungan mudah pada kadar yang tinggi.
Disiarkan pada: Disember 1, 2024
|