Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi. FOTO BERNAMA
Iskandar Puteri: Johor sekali lagi memohon Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri ini untuk disalurkan kembali.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata permohonan itu amat penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan manfaat hasil negeri.
Selain itu, Onn Hafiz berkata, ia juga bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
"Selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Kerajaan Johor sekali lagi memohon dan merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil cukai yang dikutip di negeri ini untuk disalurkan kembali kepada Johor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.
Ketika ditanya Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mengenai jumlah sebenar permohonan cukai yang diminta kerajaan negeri sama ada 20 atau 30 peratus.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata kerajaan negeri memohon 20 peratus dahulu.
"Kita mohon 20 peratus namun jika Kerajaan Persekutuan nak beri 10 peratus dahulu hasil cukai yang dikutip di negeri ini pun boleh.
"Saya beri contoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Medan mohon peruntukan RM10 juta daripada kerajaan negeri. Bayangkan Johor ada 56 DUN, bila didarabkan sudah lebih setengah bilion," katanya.
Jun lalu, Kerajaan Johor dilaporkan memohon Kerajaan Persekutuan supaya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.
Onn Hafiz dilaporkan berkata, perkara itu penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik.
Sebelum itu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.
Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, pada masa ini Kerajaan Johor memberikan antara RM48 bilion hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada Kerajaan Persekutuan.
Disiarkan pada: Disember 1, 2024
|