Hotel kucing jadi PPS haiwan peliharaan, jalanan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Disember 3, 2024 @ 4:31pm [email protected]
Kesemua 60 bilik hotel kucing Mak Bee Cats Hotel dan Spa penuh ditempah. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR SETAR: Hotel kucing antara lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memindahkan haiwan peliharaan mereka.
Tinjauan di sebuah hotel kucing di Seri Mentalon, di sini mendapati, kesemua 60 bilik hotel berhawa dingin itu penuh ditempah selain menempatkan kucing jalanan yang diselamatkan ketika banjir.
Pengurus Mak Bee Cats Hotel dan Spa, Shazana Mahazir, 38, berkata, dia tidak menyangka akan menerima kehadiran kucing yang banyak daripada mangsa yang terjejas akibat banjir.
Katanya, ada mangsa yang terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menghantar kucing peliharaan mereka terlebih dahulu di sini sehingga banjir surut.
"Paling saya terkesan apabila menerima empat anak kucing yang kehilangan ibunya selepas dihanyutkan arus deras banjir di Bukit Pinang, kelmarin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Shazana berkata, bukan itu saja malah mereka turut menyelamatkan 16 kucing yang terjejas akibat banjir di sekitar daerah ini untuk diberi perlindungan.
Katanya, kebanyakan kucing yang diselamatkan itu seperti takut dan trauma malah kebanyakan mereka basah akibat terendam dalam air.
"Memang ramai lagi yang datang untuk menghantar kucing peliharaan mereka di sini namun kami terpaksa menolak kerana semua bilik sudah penuh.
"Kalaulah kami ada bot dan kemahiran untuk menyelamatkan kucing yang berlindung di atas bumbung atau tepi tingkap rumah yang dinaiki air, sudah tentu kami akan selamatkan semuanya.
"Yang paling penting mereka perlukan makanan selain perlu diselamatkan kerana bimbang paras air makin dalam yang boleh menyelamatkan mereka lemas," katanya.
Menurut Shazana, mereka menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang meminta datang untuk menyelamatkan kucing terutama di kawasan yang sukar dilalui kerana paras air yang dalam.
Katanya, dia turut meminta bantuan rakannya dengan membuat posting di media sosial supaya menghantar pikap tetapi tiada disebabkan ramai yang menggunakan kenderaan itu untuk memberi misi bantuan mangsa banjir.
"Hotel kami menawarkan promosi ketika banjir iaitu sekitar RM20 sehari tetapi boleh dikurangkan lagi bergantung pada kucing yang dibawa.
"Selain itu, hotel turut melindungi semua kucing dengan memberi makan tiga kali sehari serta memandikan mereka mengikut giliran," katanya yang membuka premis itu sejak setahun lalu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1332197/hotel-kucing-jadi-pps-haiwan-peliharaan-jalanan
|