Norjahan dan suaminya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Yong Peng atas pertuduhan menyimpan harta curi. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Wanita etnik Rohingya yang baru habis pantang selepas melahirkan anak dan memiliki 54 rekod jenayah, didakwa bersama suaminya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mereka menghadapi pertuduhan menyimpan harta curi berupa barang kemas.
Tertuduh, Norjahan Ismail, 35, dan suami, Muhammad Ibrahim Md Yusof, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pasangan itu didakwa menyimpan harta curi berupa rantai tangan dan rantai leher, dua bentuk cincin serta seutas jam tangan Rolex milik dua individu berusia 39 dan 68 tahun.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, pada 1 tengah hari, 25 September lalu.
Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyimpan 16 barang kemas berupa rantai, cincin, gelang tangan, loket emas, serta kad mengandungi wang tunai asing milik wanita berusia 49 tahun.
Kejadian berlaku di rumah di Taman Wangi, di sini, pada 10.40 pagi, 15 Ogos lalu.
Ketiga-tiga pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Mehnagha Luckhmana.
Mahkamah membenarkan tertuduh wanita diikat jamin RM18,000 dengan dua penjamin tempatan, manakala ikat jamin terhadap Muhammad Ibrahim tidak dibenarkan.
Pada masa sama, mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu Norjahan perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi setiap 1 dan 15 hari bulan setiap bulan.
Sebutan semula kes serta serahan dokumen ditetapkan 7 Januari.
Sebelum ini, media melaporkan polis menumpaskan satu kumpulan pecah rumah terdiri daripada etnik Rohingya susulan tangkapan enam suspek termasuk wanita pada 29 September.
Disiarkan pada: Disember 3, 2024
|