
CHEE Wuang (kiri) dan Kian Wee didenda RM10,000 dan penjara sehari kerana memandu mabuk. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Dua lelaki masing-masing didenda RM10,000 seorang dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk, Jun dan Ogos lalu.
Peniaga perabot Tan Chee Wuang, 35, dan juruteknik Tan Kian Wee, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, Kian Wee didakwa memandu kereta dengan kepekatan alkohol 96mg/100ml dalam darah di Jalan Bukit Pasir, di sini, kira-kira 2 pagi pada 23 Ogos lalu.
Manakala Chee Wuang pula didakwa memandu kereta dengan 103mg/100ml kandungan alkohol yang mana melebihi had dibenarkan dalam darah di Jalan Panchor, Parit Besar, di sini, kira-kira 1.20 pagi, 30 Jun lalu.
Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.
Berdasarkan fakta kes, anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menjalankan operasi Op Mabuk sebelum terserempak kereta dinaiki kedua-dua tertuduh dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik diarahkan berhenti, anggota polis terhidu bau alkohol daripada kedua-dua tertuduh dan ujian pernafasan turut dijalankan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung selama dua tahun bermula hari ini.
Disiarkan pada: Disember 19, 2024
|