Nilai: Ibarat memberi sedekah kepada sindiket 'scammer', apabila seorang lelaki kerugian RM1 juta selepas diperdaya skim pelaburan saham tidak wujud.
Difahamkan mangsa berusia 57 tahun melihat iklan pelaburan berkenaan pada September lalu sebelum dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai wakil pihak pelaburan.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan wang sebanyak RM400,000 jika mahu mendapatkan pulangan keuntungan pelaburan.
"Kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, kaunter aduan Balai Polis Nilai menerima aduan dibuat mangsa yang bekerja sebagai mekanik jentera mengenai kes itu.
"Mangsa memaklumkan melihat satu iklan di aplikasi Facebook yang menawarkan skim pelaburan saham pada 2 September lalu," katanya.
Menurutnya, ,angsa berminat untuk melabur dalam sistem saham itu sebelum pengadu dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat pelaburan..
"Mangsa kemudian diterangkan berkenaan skim pelaburan saham itu dan bersetuju untuk melabur.
"Mangsa kemudian memindahkan wang ke dalam 10 akaun diberikan untuk tujuan pelaburan saham melalui 14 transaksi berjumlah RM923,350.00.
"Pengadu menyedari ditipu selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM400,000 sekiranya hendak mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan," katanya.
Jelas beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terbabit untuk siasatan lanjut.
"Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali," katanya.
Disiarkan pada: Disember 20, 2024
|