"Anak saudara saya, Zamil Asyraf Wulul Azmi, 24, berkali-kali melaungkan azan sebagai ikhtiar bagi mengelak api menyambar rumah saya dan penduduk lain.
"Ketika itu, saya baru teringat kakak sekeluarga. Saya berlari untuk memberitahunya namun mujurlah ada penduduk kampung pantas membantu mengangkatnya keluar," katanya ketika ditemui di lokasi.
Menurutnya lagi, badannya mula menggigil sambil mulut tidak henti-henti membaca ayat suci al-Quran dengan harapan api reda dengan segera.
Sementara itu, seorang mangsa, Siti Aminah Abu Noh, 45, berkata, ketika kejadian hanya dua anak perempuan, Aqma Mia Zulkipli, 12, dan Azra Aiya, 11, berada di rumah kerana melawat bapanya di hospital.
Katanya, sebelum kejadian, dia menghubungi anaknya supaya mengemaskan barangan kerana mahu menghantar mereka ke rumah neneknya tidak jauh dari lokasi.
"Dalam setengah jam, Aqma Mia hubungi saya semula memberitahu dia goreng kentang tapi asap terlalu banyak hingga masuk dalam bilik.
"Bila dia beritahu perkara itu, saya segera minta dia matikan dapur gas dan mengarahkannya segera keluar rumah.
"Lebih kurang lima minit, saya tiba di rumah dan tergaman apabila lihat rumah sudah terbakar. Saya segera mencari dua anak dan bersyukur kerana dia sudah keluar dari rumah," katanya.
Kesemua mangsa kebakaran kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Bomba dan Penyelamat Penggaram dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 malam sebelum menggerakkan 19 anggota ke lokasi.
Katanya, kesemua rumah terbabit musnah 90 peratus selain turut memusnahkan dua buah motosikal.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah malam dengan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.