CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 56565|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Tayar terpakai jana pendapatan sampingan Tok Mat

[Copy link]
Post time 21-12-2024 03:29 PM | Show all posts |Read mode

Rahmat menghasilkan pelbagai hiasan menarik daripada tayar terpakai dan mampu menjana pendapatan sampingan. FOTO IHSAN PEMBACA.

Kuala Pilah: Bermula dengan mencipta hiasan daripada tayar terpakai sempena pertandingan keceriaan kampung, seorang warga emas kini mampu menjana pendapatan sampingan menerusi sentuhan kreatifnya.

Asal barang jadi duit, pelbagai hiasan seperti tempat letak alamat rumah, replika motosikal, kerusi serta meja daripada tayar terpakai yang dihasilkan Rahmat Sulaiman, 68.

Penoreh getah yang mesra di panggil Tok Mat itu berkata, pada mulanya dia sekadar meluangkan masa terluang sebelum mula minat memberi komitmen terhadap hiasan bermula Mei lalu.

"Pengurusan Felda ketika itu menganjurkan Pertandingan Keceriaan Blok Felda Kepis. Tercetus idea untuk hasilkan hiasan daripada tayar terpakai di kediaman penduduk Blok D bagi memeriahkan suasana.

"Jadi saya mula membuat replika berbentuk motosikal daripada tayar terpakai bagi 24 unit rumah di dalam Blok D.

"Dalam pertandingan itu, kami berjaya mendapat tempat kedua," katanya ketika ditemui.

Sambungnya, selepas pertandingan itu dia tidak menyangka apabila penduduk setempat mula membuat tempahan hiasan daripada tayar terpakai itu.

"Sambutan selepas itu amat memberangsangkan apabila ada yang membuat tempahan pelbagai produk seperti bangku kambing, jam, kerusi dan meja termasuk motosikal dengan harga yang ditawarkan antara RM40 hingga RM70.

"Selepas melihat sambutan ini, saya mula menghasilkan produk lain dan menantu kemudiannya mengambil gambar dan membuat iklan di laman Facebook kerana ia lebih mudah.

"Alhamdulillah tempahan semakin bertambah membabitkan pelanggan dari Selangor dan Melaka termasuk Negeri Sembilan sendiri," katanya.

Selain sentuhan halus pada produknya, hasil kerja warga emas itu memang memuaskan selain pemilihan warna yang ceria serta ditambah dengan tulisan yang bersesuaian menjadikannya lebih menarik.

Menurutnya, penghasilan sesuatu hiasan agak rumit dan mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disiapkan kerana semuanya dibuat sendiri tanpa bantuan pihak ketiga kecuali tempahan terlalu banyak.

"Pembuatannya agak rumit kerana perlu memotong, menyambung, menampal semua tayar ini bagi memastikan ia betul-betul kelihatan seperti dikehendaki pelanggan. Saya juga mengecat sendiri sebagai sentuhan terakhir," katanya.

Tok Mat berkata, penggunaan tayar terpakai bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah boleh mengurangkan pembuangan bahan berkenaan dengan memanfaatkannya.

"Kebanyakan tayar terpakai ini saya dapat dari kedai tayar. Untuk hasilkan sesuatu hiasan memang memerlukan kos mahal dan barang baharu, tetapi tayar buruk ini boleh dimanfaatkan.

"Kebiasaannya saya akan menyiapkan produk daripada tayar ini selepas selesai menoreh pada waktu pagi. Kalau banyak tempahan saya akan upah pembantu selain dibantu isteri.

"Alhamdulillah setakat ini sudah lebih 200 rekaan hiasan daripada tayar terpakai terjual sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada saya sekeluarga," katanya.


Disiarkan pada: Disember 21, 2024



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 02:36 AM GMT+8 , Processed in 0.233405 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list