TANGKAP layar rakaman imej di Google Map yang membongkar kes pembunuhan JLPO. FOTO Google Map
Madrid: Polis Sepanyol berjaya menemukan bukti penting melalui Google Map, sekali gus menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki warga Cuba yang sudah disiasat selama lebih setahun.
Oddity Centra melaporkan, kes tragis itu membabitkan JLPO, 33, yang mayatnya ditemukan di pinggir Tajueco, sebuah bandar kecil di wilayah Castille dan Leon, Sepanyol.
Lelaki terbabit mengembara ke Sepanyol untuk bertemu isterinya yang bekerja di negara itu, namun misteri kehilangan dan kematiannya membingungkan pihak berkuasa sehingga teknologi menjadi kunci utama pendedahan.
Google Map merakam imej penting seorang lelaki yang dipercayai suspek utama memasukkan bungkusan besar ke dalam sebuah kenderaan Rover lama berwarna merah.
Bungkusan itu disyaki mengandungi tubuh mangsa, memberikan polis peluang luar biasa untuk mendapatkan petunjuk dalam kes rumit ini.
Dilaporkan, sebelum kehilangan JLPO, ahli keluarganya menerima mesej pelik tidak lama selepas lelaki itu tiba di Sepanyol, kemudian senyap tanpa khabar berita hingga ahli keluarga mengisytiharkan lelaki itu hilang.
Walaupun polis Sepanyol mengesyaki isteri JLPO terbabit dalam pembunuhan kejam lelaki itu, mereka tidak mempunyai bukti kukuh.
Penyiasat juga memperoleh maklumat bahawa JLPO dan pasangannya ada kaitan dengan seorang lelaki tempatan di Tajueco.
Pihak berkuasa mengesyaki isteri JLPO dan lelaki itu merancang pembunuhan mangsa.
Penyiasat Sepanyol berdepan kesukaran untuk mengumpul bukti dalam kes rumit itu selama berbulan-bulan.
Bagaimanapun, kemas kini maklumat daripada Google Map mendedahkan imej lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kes itu memasukkan bungkusan besar dipercayai mayat ke dalam but sebuah Rover.
Imej yang menunjukkan individu itu dari arah belakang dirakam ketika pihak Google Map membuat kemas kini rakaman pemetaan jalan dengan melalui kawasan berkenaan dan polis pasti individu itu lelaki tempatan yang dikehendaki mereka.
Pihak Google Map yang membuat rakaman pemetaan itu turut dapat merakam imej suspek di jalan utama di Tajueco ketika lelaki itu mengeluarkan bungkusan daripada kereta sorong untuk dimasukkan ke dalam kereta.
Bagaimanapun, satu-satunya perkara yang membantutkan penyiasatan adalah kereta sorong itu tidak ditemukan berhampiran Rover merah berkenaan.
|