ANGGOTA keselamatan berada di lokasi penemuan bom Perang Dunia Ke-2 yang tidak meletup berhampiran Jambatan Carola di bandar Dresden, timur Jerman. FOTO DPA
Berlin: Proses pengosongan kawasan sekitar lokasi penemuan bom Perang Dunia Ke-2 yang tidak meletup berhampiran Jambatan Carola di bandar Dresden, timur Jerman dimulakan, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Siren berbunyi awal pagi Khamis. Menurut pihak berkuasa, kira-kira 10,000 orang yang terjejas kini diberi masa bermula 7 pagi hingga 9 pagi (0600-0800 GMT) untuk meninggalkan kawasan pusat bandar.
Proses pelupusan bom bermula selepas itu, menurut mereka lagi.
Pada Rabu, semasa kerja perobohan di Jambatan Carola di Dresden, sebutir bom era Perang Dunia Ke-2 milik British ditemukan.
Pihak berkuasa segera melaksanakan langkah-langkah keselamatan.
Bandar lama Dresden yang bersejarah terjejas akibat penutupan sebahagian besar kawasan.
Disiarkan pada: Januari 9, 2025
|