Foto fail REUTERS
HONG KONG: Pihak berkuasa kesihatan China hari ini memaklumkan mereka mengesan strain mutasi baharu mpox, clade Ib ketika jangkitan virus itu merebak ke lebih banyak negara.
Ia selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global tahun lalu.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China berkata, pihaknya menemui wabak kelompok clade Ib bermula dengan jangkitan membabitkan seorang warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan dan kediaman di Republik Demokratik Congo.
Empat lagi kes dikesan pada individu yang dijangkiti kerana mempunyai kontak rapat dengan warga asing itu
Gejala pesakit adalah ringan, termasuk berdepan ruam pada kulit dan melepuh.
Mpox merebak melalui kontak rapat dan menyebabkan simptom seperti selesema dan lesi berisi nanah pada badan.
Untuk rekod, pada Ogos tahun lalu, WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.
Ini berikutan wabak di Republik Demokratik Congo yang mula merebak ke negara jiran.
Pada Ogos tahun lalu, China memaklumkan akan memantau individu dan barangan yang memasuki negara itu bagi kawalan wabak mpox.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan negara itu berkata, mpox akan diuruskan sebagai penyakit berjangkit Kategori B.
Ini membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah kecemasan seperti menyekat perhimpunan, menangguhkan sementara kedatangan pekerja dan sekolah selain menutup kawasan yang didapati terjejas akibat wabak itu. - REUTERS
|