Anggota bomba menyiram bara berasap semasa kebakaran memusnahkan Sekolah Kristian Sahag Mesrob Armenia pada 13 Januari 2025 di Altadena, California, di mana Kebakaran Eaton yang dahsyat menyebabkan kerosakan yang meluas. - Foto AFP
WASHINGTON: Jutawan teknologi, Elon Musk didakwa menyebarkan 'berita palsu' mengenai tindak balas California terhadap kebakaran hutan di Los Angeles yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 mangsa dan puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan.
Ia sekali gus menyebabkan pertikaman lidah secara dalam talian antara Gabenor California, Gavin Newsom dan Musk, berhubung penyebaran maklumat mengelirukan semakin meruncing.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Musk dijangka memainkan peranan penting dalam memberi nasihat kepada pentadbiran akan datang, meningkatkan kritikan terhadap pengurusan Newsom terhadap kebakaran itu.
Menerusi entri di X, Musk mendakwa kemusnahan banyak rumah di Los Angeles berpunca akibat 'pentadbiran lemah di peringkat negeri dan tempatan, menyebabkan kekurangan bekalan air'.
Mengulas dakwaan itu, Newsom menerusi entri petang kelmarin, berkata pembohongan Musk didedahkan oleh anggota bomba, sambil memuat naik video tokoh perniagaan itu bertanya kepada petugas mengenai ketersediaan bekalan air.
Anggota bomba itu kemudian menjawab, terdapat bekalan air di 'beberapa empangan', sambil menjelaskan tindakan tambahan menggunakan trak air diperlukan dalam usaha memadamkan kebakaran berskala besar.
Newsom menerusi pertelingkahan pada hujung minggu lalu, mendakwa Musk 'menggalakkan serangan dengan berbohong', selepas pemilik Tesla dan SpaceX itu memperbesar entri di X yang secara salah menuduh gabenor dan rakan Demokrat 'menghalalkan penjarahan'.
"Ia menyalahi undang-undang, sama seperti sering berlaku. Pelaku akan ditahan dan didakwa," ujar Newsom mengulas kebimbangan gelombang penjarahan di kawasan yang rakyatnya perlu menyelamatkan diri daripada kebakaran.
Akaun peribadi Musk di X yang memiliki lebih 212 juta pengikut, semakin berpengaruh dan sering mendapat kritikan kerana memperluas penyebaran maklumat palsu.
Sementara itu, penyelidik berkata, aplikasi dibeli Musk dengan nilai AS$44 bilion (RM198.11 bilion) pada 2022, itu menyaksikan ledakan maklumat palsu mengenai kebakaran hutan daripada golongan sayap kanan.
Biarpun cuaca kering dan angin kencang beberapa bulan lalu, adalah ideal bagi kebakaran hutan, naratif di X bagaimanapun menyasarkan dasar negeri seperti amalan meningkatkan kepelbagaian dalam pasukan bomba Los Angeles, sebagai punca masalah itu.
Video tular didedahkan badan pemantau maklumat palsu, NewsGuard, secara salah mendakwa pegawai bomba terpaksa menggunakan beg tangan wanita untuk memadamkan api kerana sumber mereka dialihkan kepada 'agenda woke' dan bantuan perang ke Ukraine.
Namun, beg berisi air dalam video itu sebenarnya adalah 'beg kanvas', dibawa anggota bomba kerana lebih mudah digunakan untuk memadamkan api kecil, berbanding penggunaan hos, seperti dilaporkan TMZ yang memetik kenyataan pegawai tempatan.
Maklumat palsu mengenai kebakaran itu juga tersebar di platform lain, termasuk Facebook (FB) milik Meta.
Pihak berkuasa baru-baru ini, memberi amaran mengenai muat naik palsu di FB yang menggesa orang ramai pergi ke California untuk menyertai pasukan pembersihan di kawasan terjejas.
"Kami ingin menjelaskan perkara sedemikian tidak wujud," kata Jabatan Perlindungan Kebakaran negeri di laman sesawangnya.
Meta minggu lalu, mencetuskan tindak balas global selepas mengumumkan bakal menghentikan usaha pihak ketiga di AS untuk menyemak fakta dan memperkenal kaedah sederhana berasaskan komuniti, mirip aplikasi X.
Penyelidik berkaitan maklumat palsu mengkritik perubahan dasar Meta yang dibuat kurang dua minggu sebelum Trump memegang jawatan, sambil memberi amaran ia berisiko membuka pintu kepada penyebaran naratif palsu secara besar-besaran.
FB ketika ini, membayar untuk menggunakan semakan fakta daripada hampir 80 organisasi di seluruh dunia pada platformnya, termasuk WhatsApp dan Instagram. - AFP
|