Keranda dengan mayat Miguel Ángel López Rojas, isterinya Zulay Durán Pacheco, dan bayi mereka yang berusia sembilan bulan dilihat sedang ditangisi oleh saudara-mara selepas mereka dibunuh secara ganas oleh kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan Cúcuta, Colombia. - Foto AFP
COLOMBIA: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh ketika serangan antara kumpulan bersenjata di sempadan Colombia-Venezuela sehingga menyebabkan kerajaan menggantung rundingan damai dengan Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN).
Presiden Gustavo Petro mengumumkan penggantungan rundingan damai yang sebelum ini sudah sedia terganggu dengan ELN, menuduh kumpulan itu melakukan "jenayah perang" susulan gelombang keganasan baharu.
Selain terkorban, kira-kira 20 lagi mengalami kecederaan apabila anggota ELN dipercayai menyasarkan ahli pembelot Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC) di kampung serta ladang mereka.
Pihak berkuasa melaporkan anggota bersenjata ELN bertindak membuat serbuan dari rumah ke rumah untuk mencari individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan pembelot FARC.
Seorang penduduk, Jose del Carmen Abril, memberitahu AFP bahawa kumpulan terbabit datang ke rumahnya sebanyak empat kali untuk mencarinya.
Mereka kemudian mengeluarkan arahan kepada penduduk supaya menyerahkan dirinya dalam keadaan hidup atau mati. Abril kemudian diselamatkan oleh tentera.
Gabenor wilayah North Santander, William Villamizar, berkata keganasan itu bermula sejak Khamis lalu akibat perebutan wilayah yang dikaitkan dengan perdagangan kokain.
Selama beberapa dekad, kumpulan bersenjata bertentangan sudah berperang bagi menguasai ladang coca yang sangat menguntungkan di sempadan Colombia-Venezuela iaitu kawasan yang menjadi penyumbang utama kepada bekalan kokain dunia.
Peguam awam, Iris Marin menyatakan laporan awal menunjukkan bahawa puluhan keluarga dipaksa meninggalkan kediaman mereka akibat keganasan berkenaan, dan lebih daripada 20 orang dilaporkan hilang.
Giovanny Sanguino berkata dua rakan serta anak mereka yang berusia sembilan bulan antara mangsa yang terkorban.
"Ini bukan perkara biasa. Membunuh seluruh keluarga adalah sesuatu yang kejam. Mereka yang melakukan ini tidak mempunyai perasaan," katanya kepada AFP.
ELN yang mempunyai ribuan anggota, adalah salah satu kumpulan bersenjata terbesar yang masih aktif di Colombia.
Walaupun mendakwa berjuang atas dasar ideologi kiri dan nasionalisme, kumpulan itu terbabit secara mendalam dalam perdagangan dadah dan kini menjadi salah satu kumpulan jenayah terancang paling berkuasa di rantau berkenaan. - AFP
|