CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25398|Reply: 0

Yoon hadir pendengaran mahkamah

[Copy link]
Post time 18-1-2025 08:35 PM | Show all posts |Read mode

Yoon dibawa dari pusat tahanan di Uiwang, kira-kira 20 kilometer di selatan Seoul, dengan sebuah van yang diiringi polis dan Perkhidmatan Keselamatan Presiden.



SEOUL - Presiden Korea Selatan yang digantung tugas, Yoon Suk Yeol, menghadiri pendengaran di sebuah mahkamah di Seoul pada Sabtu untuk membantah kemungkinan penahanan rasminya atas keputusan penguatkuasaan undang-undang tentera yang berlangsung singkat bulan lepas, lapor agensi berita Yonhap yang memetik peguamnya.

Yoon ditahan sejak Rabu lepas di kediamannya atas tuduhan merancang pemberontakan dan penyalahgunaan kuasa, menjadikannya Presiden Korea Selatan pertama yang ditahan semasa masih memegang jawatan.




Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO), yang mengetuai siasatan bersama polis dan tentera, memohon kepada Mahkamah Daerah Barat Seoul pada Jumaat untuk mengeluarkan waran penahanan rasmi terhadap Yoon.

Yoon dibawa dari pusat tahanan di Uiwang, kira-kira 20 kilometer di selatan Seoul, dengan sebuah van yang diiringi polis dan Perkhidmatan Keselamatan Presiden.

Konvoi itu mengelak kawasan khas untuk sesi bergambar media dan terus memasuki bangunan mahkamah, sementara ribuan penyokong berhimpun berhampiran, mengibarkan bendera Korea Selatan dan Amerika Syarikat serta melaungkan nama Yoon sebagai tanda sokongan.

Yoon memilih untuk menghadiri pendengaran di mahkamah bagi menjelaskan kesahihan keputusan undang-undang tentera dan membersihkan reputasinya yang tercemar, kata peguamnya, Yoon Gap-keun, dalam satu mesej yang dihantar kepada pemberita.

Sejak ditahan, Yoon enggan hadir untuk disoal siasat mengenai keputusan undang-undang tenteranya. Pengisytiharan yang dibuat pada 3 Disember itu mengejutkan negara dan mencetuskan krisis politik terburuk Korea Selatan dalam beberapa dekad.

Namun, undang-undang tentera itu hanya berlangsung beberapa jam sebelum ahli parlimen mengundi untuk menarik balik pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Semasa pendengaran yang bermula pada jam 2 petang, Yoon dijangka menafikan secara tegas tuduhan pemberontakan terhadapnya. Beliau juga dijangka berhujah bahawa tiada keperluan untuk menahannya memandangkan penyiasat sudah memperoleh sebahagian besar bukti yang diperlukan dan tiada risiko beliau akan melarikan diri kerana masih memegang jawatan presiden.

Peguamnya turut menyatakan bahawa keputusan undang-undang tentera itu merupakan tindakan pemerintahan dan tidak boleh tertakluk kepada penghakiman mahkamah kerana ia dilaksanakan untuk mengatasi krisis negara akibat pemecatan ahli Kabinet oleh pembangkang, kebuntuan dalam penggubalan undang-undang, dan pengurangan belanjawan secara unilateral.

Kuasa presiden Yoon telah digantung selepas dewan yang dikuasai pembangkang mengundi untuk mendakwanya pada 14 Disember.

Pada Rabu, pasukan peguam Yoon meminta Mahkamah Daerah Pusat Seoul memutuskan kesahan waran tahanan terhadap Yoon yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Barat, tetapi mahkamah pusat menolak permohonan itu keesokan harinya, menyebabkan Yoon terus ditahan.

Walaupun keputusan mahkamah tidak berubah, pasukan peguam Yoon dijangka terus berhujah bahawa CIO tidak mempunyai kuasa sah untuk menyiasat tuduhan pemberontakan dan bahawa Mahkamah Daerah Barat tidak mempunyai bidang kuasa yang sesuai ke atas kes undang-undang tentera itu.

Hakim Mahkamah Daerah Barat Seoul dijangka membuat keputusan seawal lewat Sabtu atau awal Ahad.

Sekiranya waran itu dikeluarkan oleh pegawai mahkamah, Yoon akan menjadi presiden pertama dalam sejarah perlembagaan Korea Selatan yang ditahan secara rasmi semasa masih memegang jawatan.

Penahanan rasmi Yoon membolehkan penyiasat melanjutkan tempoh penahanan sehingga 20 hari, di mana mereka akan menyerahkan kes itu kepada pendakwa raya untuk pendakwaan.

Jika permohonan ditolak, presiden yang sedang bergelut itu akan dibebaskan dan kembali ke kediamannya sambil mengukuhkan dakwaan bahawa siasatan terhadap keputusan undang-undang tentera dan pemecatannya tidak berasas.

Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menyingkirkan Yoon daripada jawatan dengan menyokong keputusan pendakwaan oleh parlimen atau mengembalikan semula jawatannya. - Bernama/Yonhap

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-2-2025 03:13 AM GMT+8 , Processed in 0.039023 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list