Presiden Lubnan, Joseph Aoun. - Foto AFP
BEIRUT: Presiden baharu Lubnan, Joseph Aoun, berkata Israel perlu menarik diri dari selatan negara itu sebelum tarikh akhir iaitu 26 Januari yang ditetapkan untuk melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata Israel-pejuang Hizbullah, seperti yang dipersetujui tahun lalu.
Kenyataan beliau dibuat susulan ucapan pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, yang mendakwa Israel melakukan ratusan pelanggaran gencatan senjata.
Aoun memberitahu Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang sedang melakukan lawatan bahawa adalah perlu tentera Israel menarik diri dari wilayah yang diduduki di selatan dalam tempoh tarikh akhir yang ditetapkan oleh perjanjian yang dicapai pada 27 November lalu.
"Pelanggaran Israel yang berterusan di darat dan udara, meletupkan rumah dan memusnahkan kampung-kampung di sempadan bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam perjanjian gencatan senjata," kata kenyataan dari pejabat Aoun.
Menurut perjanjian gencatan senjata pada 27 November yang menamatkan dua bulan peperangan terbuka antara Israel dan pejuang Hizbullah, tentera Lubnan diberi tempoh 60 hari untuk dikerahkan bersama-sama dengan penjaga keamanan dari misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan sementara tentera Israel menarik diri.
Pada masa sama, pejuang Hizbullah turut dikehendaki menarik balik tenteranya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan.
Terdahulu, Qassem menyeru Lubnan untuk bertindak tegas dalam menghadapi ratusan pelanggaran.
"Ini tidak boleh diteruskan. Kami sudah bersabar dengan pelanggaran yang dibuat untuk memberi peluang kepada Lubnan yang bertanggungjawab ke atas perjanjian ini, bersama-sama dengan penaja antarabangsa, tetapi saya menyeru anda untuk tidak menguji kesabaran kami," katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Ucapan Qassem itu dibuat ketika Guterres bertemu dengan pegawai kanan Lubnan termasuk Perdana Menteri yang dilantik, Nawaf Salam dan Aoun yang juga bekas ketua tentera yang berikrar negara akan mempunyai 'monopoli' terhadap pemilikan senjata.
Beberapa penganalisis berkata, kelemahan pejuang Hizbullah dalam peperangan dengan Israel membolehkan kelas politik Lubnan yang berpecah memilih Aoun dan menyokongnya dalam melantik Salam, yang juga hakim presiden di Mahkamah Jenayah Antarabangsa, sebagai perdana menteri.
Namun, Qassem menegaskan, sokongan pejuang Hizbullah dan sekutunya, Amal membawa kepada pemilihan presiden secara konsensus, selepas kira-kira dua tahun kebuntuan.
Selepas pertemuan dengan Aoun, Guterres meluahkan harapan Lubnan dapat membuka 'bab baharu perdamaian'.
Guterres semalam menyeru Israel menghentikan operasi ketenteraannya di selatan Lubnan.
Beliau juga berkata, PBB sudah menemui lebih 100 gudang senjata 'milik pejuang Hizbullah atau kumpulan bersenjata lain'.
|