Jitra: Kanak-kanak 10 tahun, T Shaanjiv sebelum ini aktif dalam sukan bola keranjang di sekolahnya namun segalanya berubah apabila dia disahkan menghidap barah limfoma burkitt tahap empat, September 2024.
Pada mulanya, ibunya, G Kavitha, 39, berkata, pada mulanya, anaknya mengadu sakit dalam perut sebelum dibawa ke Hospital Jitra.
"Pemeriksaan mendapati, dia mengalami sakit perut biasa. Namun, dua hari kemudian, dia sekali lagi mengadu sakit dalam perut sehingga menangis sebelum saya bawanya ke sebuah klinik swasta di Kangar, Perlis.
"Pemeriksaan mendapati, terdapat 'sesuatu' dalam perutnya sebelum doktor meminta saya merujuk anak ke Hospital Tunku Fauziah (HTF), Kangar, untuk pemeriksaan lanjut," katanya ditemui di rumahnya di Tunjang, semalam.
Menurutnya, doktor yang menjalankan ujian biopsi mendapati, bahagian perut anaknya besar sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana menyangka dia menghidap tibi.
"Selepas doktor menjalankan ujian imbasan selain biopsi kali kedua, anak disahkan menghidap barah terbabit," katanya.
Menurut Kavitha, pada hari sama, anaknya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut termasuk memasang kemopod di dada kanan bagi memudahkan kemoterapi dilakukan.
Katanya, pada mulanya, ketulan dalam perut anaknya itu sebesar 4.3 sentimeter (cm). Namun selepas menjalani tiga pusingan kemoterapi, ia mengecut kepada 1.7cm.
"Anak belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Cina, Tunjang dan aktif dalam sukan. Kini dia berehat sementara di rumah selama empat bulan untuk fokus kepada rawatan," katanya.
Katanya, suaminya, J Tanabalansingan, 41, bekerja sebagai pemandu lori manakala dia pula hanya surirumah selain mempunyai tiga anak masih bersekolah.
"Badan anak masih kurus dan sepatutnya dia minum susu formula khas yang disyorkan oleh doktor, tetapi kami tidak mampu beli kerana harganya mahal," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Public Bank di 6451298201 atas nama G Kavitha.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarah pesakit itu turut menghulurkan sumbangan wang serta barangan keperluan dapur.