CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3258|Reply: 0

[Sabah] PGA Sabah rampas barang seludup RM3.62 juta

[Copy link]
Post time 27-1-2025 02:37 PM | Show all posts |Read mode


RAMPAS: Sebahagian rampasan yang dilakukan PGA dalam salah satu serbuan.


ABDUL RANI

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas pelbagai jenis barangan seludup berjumlah RM3.62 juta menerusi lima serbuan yang dilaksanakan dalam tempoh lima hari bermula 20 Januari lalu.

Selain rampasan berkenaan, operasi yang dilaksanakan di seluruh negeri itu turut menahan lima individu yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, rampasan terbesar melibatkan serbuan di sebuah gudang di Lok Kawi Industrial, Papar.

Katanya, hasil serbuan mendapati gudang berkenaan dijadikan tempat penyimpanan pelbagai jenis rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

"Kejayaan rampasan kedua terbesar pula membabitkan dua serbuan di sekitar Jalan Pryer dan Kampung Beriawa, Batu 8, Sandakan.

"Dalam serbuan kali ini, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki Filipina dan merampas 2,125 karton rokok dan 63 karton minuman keras pelbagai jenis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan kali ini membabitkan nilai RM917,418 termasuk cukai.

Katanya, operasi serbuan ketiga diteruskan dengan menyerbu sebuah bangunan kosong di Kampung Titingan, Tawau, dan berjaya merampas rokok seludup bernilai RM283,640.

"Manakala serbuan keempat dijalankan di sebuah kedai runcit di Sedco Shopping, Pekan Keningau dan berjaya menemukan rokok seludup.

"Pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan untuk siasatan lanjut dan jumlah rampasan kali ini dianggarkan bernilai RM223,810 berdasarkan harga pasaran dan cukai," katanya.

Abdul Rani berkata, semua empat serbuan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, serbuan terakhir pula dilakukan pasukan Task Force Risik BN20 PGA Beluran di tepi Jalan Simpang Beluran.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak PGA menahan dua lelaki warga tempatan dan Indonesia yang berada di dalam sebuah lori.

"Pemeriksaan mendapati, lori yang dinaiki kedua-dua suspek membawa 10,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM200,000.

"Kedua-dua suspek terus ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas gagal mengemukakan permit atau kelulusan KPDN dan resit pembelian,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rani berkata, hasil lima kejayaan serbuan ini, pihak polis berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan minyak diesel, rokok dan minuman keras.

Katanya, pihak polis menerusi PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Orang ramai juga diminta supaya sentiasa menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan untuk tindakan penguatkuasaan.

"Ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan," katanya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 05:05 AM GMT+8 , Processed in 0.032388 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list