OPERASI: Pasukan bomba berusaha mengeluarkan semua mangsa yang berada di dalam kereta berkenaan.
LAHAD DATU: Seorang lelaki maut, manakala empat lagi parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Pantai, di sini awal pagi tadi.
Mangsa berusia 52 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta dan pacuan empat roda telah bertembung.
“Terdapat lima mangsa berada di dalam kereta berkenaan dan seorang daripadanya tersepit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Empat lagi mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulan KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sumsoa berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.51 pagi,” katanya.
|