RASMI: Masidi memalu gong sebagai simbolik perasmian majlis berkenaan.
RANAU: Kerajaan Sabah berkemampuan memberikan lebih banyak insentif kepada rakyat memandangkan kedudukan kewangan negeri ketika ini dalam keadaan yang baik.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagi tempoh tiga tahun berturut-turut kerajaan negeri telah mengeluarkan cukai yang tertinggi dalam sejarah iaitu hampir RM7 bilion.
Katanya, untuk beberapa tahun kebelakangan ini termasuk tahun lepas, kerajaan negeri mampu mengutip hasil yang sangat besar.
“Saya ingin menyatakan bahawa rizab tunai kerajaan negeri buat masa ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan dalam Sejarah di Sabah.
“Kita sudah mampu menguruskan kewangan negeri dengan bijak kerana mempunyai kestabilan dalam politik di Sabah,” katanya.
Masidi berkata, kerajaan kini boleh memberi lebih banyak peruntukan kepada semua persatuan yang ada dan membelanjakan wang untuk pembangunan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan upacara penyerahan kepala singa kepada pertubuhan masyarakat Tiong Hua di Ranau, semalam.
CENDERA KENANGAN: Masidi menerima cendera kenangan daripada Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Ranau, merangkap Presiden Persatuan Hakka Daerah Ranau, Kapitan Datuk Dr. Jimmy Tham.
Bercakap mengenai pembangunan, katanya, terdapat beberapa projek utama di Ranau, di mana salah satunya adalah projek air yang menelan belanja sebanyak RM62 juta.
Katanya, projek itu adalah untuk membina satu loji penapis air baharu di Lohan dengan sumber air dari Sungai Nakamura.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan mengatasi masalah kesesakkan lalu lintas yang berlaku di daerah Ranau.
“Kerajaan Sabah bersedia untuk membiayai pembinaan lorong memotong untuk kenderaan berat bagi mengelak kesesakan lalu lintas.
“Beberapa lagi laluan alternatif dan jambatan utama juga sedang dalam pembinaan di tempat-tempat strategik yang boleh dilalui oleh pemandu bagi mengatasi kesesakan,” katanya.
Dalam majlis itu, Masidi meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Hakka Daerah Ranau bagi menjalankan perancangan persatuan itu sepanjang tahun ini.
|